Tuesday, March 21, 2017

Mencapai Redha Allah SWT

KURANGKAN KEGELISAHAN HATI UNTUK MENCAPAI REDHA ALLAH SWT.

Kegelisahan hati seseorang itu terlahir akibat tidak adanya keseimbangan antara harapan di hati, fikiran dan kenyataan.
Permasalahan hidup manusia muncul kepermukaan disebabkan hanya semata-mata persepsi pada logik akal yang sempit dalam berfikir.

Dalam hidup seorang mukmin segala apa yang terjadi dalam kehidupan ini diposisikan semata-mata atas kehendakNya. Bukan hanya mengandaikan semata-mata pada akal manusia, sebab kadang-kadang akal ini diselimuti oleh hawa nafsu manusia itu sendiri. Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an Surah At-Taghaabun, ayat 11:

‎مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

Dalam kehidupan manusia, permasalahan hidup berupa dugaan dan cabaran, pada hakikatnya bukan untuk kita lari dan dihindari, akan tetapi harus dihadapi dan dicari solusi. Kerana hidup itu sendiri hakikatnya adalah sebuah ujian, cabaran dan permasalahan. Mengapa kita mesti menghindari? Di sinilah kadang-kadang kita lupa pada hakikat kehidupan yang sebenar.

Yang menjadi masalah dalam menghadapi kehidupan ini sebenarnya adalah cara kita sendiri yang salah dalam menghadapi masalah. Bagi sebahagian orang, kegelisahan hati itu muncul didasari oleh perilaku kita yang belum sampai ke tingkat yakin akan sangat dekatnya pertolongan Allah. Ertinya segala persoalan dan kesulitan yang ada dan menimpa kita –sekecil apapun—justeru seringkali membuahkan rasa marah, cemas dan gundah gulana yang membuat hati menjadi resah gelisah.

Keadaan hati yang gelisah akan mengakibatkan pada persepsi menyingkapi hari demi hari hidupnya dengan berbagai macam keluh kesah, amarah, dan perilaku yang serba salah. Hal ini menyebabkan hidup kita menjadi stress.

Jika kita tidak mahu menjadi orang yang stress dan ingin menikmati hidup dengan kebahagiaan dan ketenangan, maka kita harus mencari jalan keluarnya untuk meredakan resah gelisah hati menghadapi berbagai persoalan dalam kehidupan ini.

Tazkirah hari ini, ingin berkongsi sedikit dengan sekalian tentang langkah untuk meredakan kegelisahan dalam hidup untuk meraih redha Allah SWT. Adapun sebahagian langkah tersebut adalah:

1. Harus Memiliki Keyakinan Yang Mantap kepada Allah SWT.
Sebahagian di antara kita apabila gelisah hati datang menimpa, ternyata lebih sibuk dengan fikiran yang mencemaskan perbuatan-perbuatan makhluk dan mengharapkan datangnya bantuan makhluk berbanding harapan kepada Allah SWT. Padahal secara nyata, tidak ada satu pun makhluk yang dapat menimpakan mudharat atau mendatangkan manfaat, melainkan dengan izinNya.

Firman Allah SWT dalam al-Qur'an Surah Yunus, ayat 107:

‎وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Dengan demikian, setiap tanda-tanda kejadian yang menimpa kita sebenarnya akan menjadi sarana yang paling tepat untuk kita bermunajat kepada Allah SWT, sehingga membuat kita semakin ingat padaNya, taqarrub dan tidak pernah melupakanNya.

Dengan Perilaku seperti itulah sebenarnya rahsia ketenangan dan kebahagiaan sejati hidup di dunia yang In shaa  Allah akan menjadi bekal kebahagiaan yang kekal di akhirat nanti.

2. Memiliki Ilmu Agama Yang Benar Dan Manfaat.
Setelah memiliki keyakinan diri yang mantap kepada Allah SWT, maka ilmu agama yang benar adalah modal kedua untuk dapat meredakan kegelisahan hati seseorang. Janganlah sekali-kali kita bermimpi dapat hidup tenang dan bahagia (baca: terbebas dari gelisah hati) sekiranya kita tidak memiliki ilmu agama yang benar untuk mengharungi jalan hidup yang tidak selalu lurus dan bersih dari berbagai ujian dan cubaan serta ujian yang wajib dilalui oleh setiap manusia.

Dengan ilmu lah kita dapat mengetahui dan membezakan antara halal dan haram, hak dan batil, benar dan salah, baik dan buruk. Allah SWT berfirman dalam Surah Mujadalah ayat 11:

‎*يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ*

"Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah SWT Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan".

3. Menghadiri Majlis Ilmu, Zikir, Membaca Al-Qur'an.
Ketiga faktor di atas dapat mengingatkan hati kita kepada Allah SWT. Dengan mendatangi majlis ilmu, majlis Zikir atau dengan membaca baca Al-Qur'an atau dengarkanlah baik-baik orang lain yang membacanya. Sekurang-kurangnya ianya akan dapat mengurangkan keresahan dan kegelisahan dalam hidup kita. Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:

‎الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia".

4. Beribadah Pada Waktu Dan Tempat Yang Sunyi, untuk menyembahNya.
Misalnya dengan bangun di tengah malam, ketika orang-orang sedang tidur nyenyak, kita bangun mengerjakan solat malam, memohon ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran, dan kemurnian hati kepadaNya. Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an Surah Al-Isra', ayat 79:

‎*وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا*

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat nanti di tempat yang terpuji".

5. Kawal Emosi Diri Dengan Sebaik-baiknya.
Jika ada suatu persoalan hidup dirasakan pahit dan amat berat, maka sebetulnya semua itu semata-mata kerana kita belum mampu memahami hikmah disebalik kejadian tersebut. Oleh kerana itu, bilamana datang suatu kejadian yang mencemaskan, segeralah kuasai emosi diri dengan sebaik-baiknya.

Jangan menyeksa diri dengan fikiran yang diada-adakan atau mempersulit diri, sehingga semakin menyeksa diri. Ertinya janganlah sedikitpun terfikir dalam pola fikir kita sesuatu anggapan bahawa rencana kita lebih baik daripada rencanaNya. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216:

‎وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah SWT jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya".

6. Sempurnakan Usaha Kita Untuk Mendapatkan PertolonganNya.
Dalam hidup ini harus kita yakini bahawa setiap segala kejadian tentu atas ketentuanNya. Ertinya manakala kegelisahan hati melanda hidup kita, maka segeralah kembalikan segala urusan hanya kepada Allah SWT.

Tanamkan keyakinan dalam hati akan kesempurnaan pertimbangan dan kasih sayangNya serta segera bulatkan tekad bahawa Allah SWT-lah satu-satunya Zat pemberi jalan keluar dalam hidup ini.

Langkah selanjutnya, setelah hati dan keyakinan kita bulat, segeralah pula bulatkan usaha dan ikhtiar untuk mencari pertolongan Allah dengan amalan-amalan yang dicintaiNya. Kekuatan ikhtiar ini merupakan kesempurnaan akan kekuatan manusia untuk mengatasinya. Allah SWT berdirman dalam al-Qur'an surah Ar-Ra’d, ayat 11:

‎إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَاq لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya".

Ya Allah berilah ketenangan jiwa dalam hati dan fikiran kami, dan jadikanlah kegelisahan hati yang menimpa kami, sebagai ladang amal dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kami kepadaMu. Mudah-mudahan kami akan sentiasa menjadi hambaMu yang sholeh. Aamiinn Ya Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment

KUNCI UNTUK DAPAT HATI SENANG & JIWA TENANG

1. TIDAK MEMBENCI Jangan benci seseorang walaupun dia buat salah padamu. 2. TIDAK MERUNGUT Jangan berkeluh kesah sebaliknya banyakka...